Monday, 24 June 2013

~Rahmat Allah itu sangat luas~

~Rahmat Allah itu sangat luas~

Hari demi hari,

Minggu demi minggu,


Setiap kali masa berlalu dengan pasti ianya tidak akan berulang lagi,

Dan setelah saat itulah,
    Kita akan mempelajari sesuatu, kadangkala ianya indah, kadangkalanya duka. Namun keperitan atau kedukaan itu,malah keindahan itu sekalipun, ianya adalah rahmat daripada Allah. Hatta dosa yang kita lakukan merupakan rahmat daripada Allah s.w.t. Perkara ini disebut dalam Al-Quran,

Maksudnya “ Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah….”

     Dosa yang kita lakukan merupakan satu ujian bagi Allah untuk hambanya. Samada terus meningkat atau terus jatuh. Namun semua itu atas pemberian Sang Pencipta kepada hamba-Nya bersesuaian dengan kemampuan diri mereka. Kerna Allah sangat prihatin akan hamba-Nya dan mengetahui kemampuan setiap hamba yang ada didunia ini. Bagi seorang mukmin, harus sentiasa berusaha meningkatkan diri. Terutamanya disaat jatuh dan tersungkur diatas bumi pukulan syaitan atas kelalaian kita. Seorang mukmin ibarat seorang pahlawan dimuka bumi untuk berhadapan dua perkara ianya adalah Syaitan yang durjana dan rayuan Nafsu yang seringkali menipu diri kita.

Rasulullah S.A.W Bersabda,
“Bertaqwalah dimana sahaja kamu berada, sekiranya kamu ingin melakukan maksiat atau dosa maka perbanyakkanlah amalan yang bertentangan dengan dosa itu”(mafhumnya)

  Dimana sahaja kita berada, tidak kiralah samada berseorang atau pun secara berjemaah. Seandainya berada didalam tandas jua pun perlu sentiasa mengingati Allah. Sekiranya terputus talian dengan-Nya, maka bersegeralah melakukan kebaikan atau mengubah fikiran yang lebih positif. Dan sekiranya, dosa itu kita “ter” buat maka segerakanlah mencari keampunan kepada-Nya, samada beristighfar,solat taubat dan mencari pendekatan lain agar diri lebih dekat kepada Sang Pengampun. Allah berfirman di dalam Al-Quran,

 Maksudnya,” Bersegeralah dalam mendapatkan keampunan TuhanMu, dan sesungguhnya Syurga Untuk mu diantara langit dan bumi, dan ianya untuk orang yang bertaqwa”

  Beruntunglah mereka yang sering mencari keampunan, syurga menanti mereka. 
   Ibarat air yang tertumpah diatas tikar , maka segeralah mengeringkannya dengan kain agar ianya tidak membasahi orang lain  atau kesan tertumpahnya air itu akan menjadi penyebab tikar itu menjadi berbau busuk atau melekit. Sekiranya air yang tertumpah itu adalah air manis maka ianya perlu dicuci dengan lebih teliti lagi..
  Lihat perkara yang manis, indah didunia ianya adalah kesan penyebab diri kita bakal musnah dan hancur setelah sekian lama tersimpan dan diulangi. Itulah dosa, sekiranya dosa kecil “ter” buat maka segeralah beristighfar, dan sekiranya dosa besar dibuat maka segeralah memohon taubat yang bersungguh dan sentiasa berhati-hati ketika melakukan setiap perkara. Sekiranya terbuat juga maka teruskanlah mencucinya dengan memohon keampuan, jangan biarkan ianya tersimpan lama maka ianya akan menjadi perkara biasa maka akan terus diulang tanpa rasa bersalah.
  Inilah yang digelar rahmat dosa untuk hambanya,
Bagaimana pula Kedukaan dan keperitan yang sering berlaku?
  Keperitan dan kedukaan, 
  Saat diuji oleh Allah kepada hamba-Nya melalui pelbagai jalan dan cara yang bakal dihadapi. Samada dikalangan manusia-manusia yang sering melakukan kesalahan atau sering berdosa dan jua manusia yang sering melakukan amal kebaikan. Gelaran yang sesuai untuk rahmat ini adalah rahmat atau nikmat kesabaran dan sentiasa memaafkan orang lain.
 Dalam kalimah arab ianya disebut sebagai “Sobr wa Tasammuh” (bersabar dan sentiasa melapangkan dada). Sifat ini sangat sukar hadir sekiranya tiada kesabaran dalam hati maka “Tasammuh” yang diertikan sebagai berlapang dada dalam setiap hal yang dihadapi. Itulah satu panahan unggul atau sentuhan jiwa yang menusuk ke dalam jiwa setiap mukmin atau muslim yang benar-benar mentaati Allah S.W.T. Kesabaran yang boleh membuatkan dirinya sentiasa berlapang dada dengan para sahabatnya. Walaupun dicaci,dihina,dicerca oleh sahabatnya dan jua masyarakat serta orang lain. Namun kesabaran itu tidak pernah hilang atau berkurangan melainkan agama Islam yang agung dihina,dicerca malah dipermainkan seperti permainan.
  Seorang mukmin yang bertaqwa kepada Allah, apabila dicaci, dihina dalam melakukan kebaikan. Dirinya akan terus terkawal dalam menjaga kesabaran diri dan sering berlapang dada dan sentiasa memohon kebaikan untuk orang mencerca dan mencacinya. Hatta dimalukannya dihadapan khalayak ramai.

Buktinya sudah diperlihatkan kepada kita semua teladan agung harus kita sentiasa sematkan dalam jiwa. Baginda kekasih Allah, rasul akhir zaman,pelengkap dalam menyampaikan risalah wahyu buat manusia yang sentiasa berada di tengah-tengah perjalanan mencari sinar kebahagiaan.

   Pada zaman Baginda,Nabi Muhammad S.A.W, sentiasa dicaci,dihina,dilontar dengan 1001 satu lontaran sehingga ada jua yang cuba membunuh baginda.
Namun,
Apakah yang Rasulullah lakukan kepada umat baginda ketika itu?
Adakah mendoakan agar mereka terus dihancurkan?
Adakah bermusuhan sehinggakan mereka bertaqwa kepada Allah?

 Pastinya tidak sama sekali, pernahkah kita mendengar ketika mana Rasulullah s.a.w berjalan di suatu lorong dikala saat baginda sedang menyampaikan risalah agung itu. Baginda dicemuh, dilontar dengan sayur-sayur busuk, buah-buahan yang busuk, batu-batu yang keras lagi menyakitkan sehinggalah di pengakhiran jalan. 
  Lalu malaikat yang menjaga bukit datang bertemu dengan Rasulullah S.A.W, seraya bertanya kepada Rasulullah S.A.W, “wahai kekasih Allah, aku sedih melihat keadaanmu. Sekiranya engkau membenarkan aku menghempapkan ke atas mereka dengan dua bukit itu aku akan segerakannya”. 
Kemudian Rasulullah menjawab, “ Tidak usah engkau membuat sedemikian terhadap umatku ini, kerana mereka masih belum mengetahui dan juga masih belum mendapat hidyah yang sebenar-benarnya.” Kemudian Rasulullah menadahkan tangan baginda segera berdoa “ Ya Allah Bukalah pintu hati mereka dan campakkanlah hidayah didalam hati-hati mereka keimanan kepada-Mu ya Rabbi.”   
    Lihatlah bertapa indahnya kesabaran dan sifat memaafkan orang lain serta sentiasa berlapang dada dalam kehidupan Baginda. Sifat sabar dan berlapang dada adalah punca diri kita tidak hadir sifat dendam sesama manusia. Perkara ini sangat sesuai ditujukan kepada masyarakat Malaysia atau masyarakat yang sering wujud sifat dendam dalam diri mereka.

   Selain itu, penulis amat kagum, apabila melihat keunikan masyarakat arab yang kasar orangnya, keinginan dunia mereka teramat tinggi. Namun tiada sifat dendam dalam diri mereka. Sekali mereka terkena maka akan terus lupakan perkara tersebut. Mereka tidak merancang untuk menyimpannya didalam hati buat selama-lamanya malah membiarkan perkara itu berlalu.
   Begitu juga Rasulullah S.A.W, sentiasa memaafkan Abu Jahal, bapa saudaranya yang sering mencuba untuk membunuhnya. Begitu juga Panglima perang Saidina Khalid Al-Walid yang sering bermusuhan dengan Rasulullah ketika zaman Jahiliyyahnya. Saidina Umar yang terkenal dengan kebengisannya, dan sentiasa berusaha mencari jalan untuk membunuh Rasulullah s.a.w. namun pengakhiran mereka adalah bersama Rasulullah S.A.W dan baginda menerimanya dengan penuh kegembiraan. Tiada permusuhan,tiada persengketaan, tiada rasa dengki diantara mereka.
   Kita yang sering berkata “Aku cintakan Nabi”, “Aku sayangkan Rasulullah” sehingga membuat sambutan besar-besaran untuk menyambut ulangtahun Kelahiran Rasulullah S.A.W. dan apabila Rasulullah dihina, kita pula bangkit dan mempertahankannya dengan berdemontrasi, memarahi dan membantah hinaan tersebut sehinggakan ingin mewujudkan persengketaan besar. Itu bukanlah jalan dan caranya, Rasulullah tidak akan menuntut sesuatu melainkan apabila Islam hendak dimusuhi dengan senjata, apabila umat islam ditindas dan diseksa, apabila Islam ditindas kefahaman aqidah dan sebagainya. Uslub atau cara yang dilakukan Rasulullah s.a.w bukannya berdemontrasi semata-mata. Namun  Rasulullah s.a.w melakukannya bersesuaian dengan keadaannya dan itulah dipanggil hikmah. Seperti Firman Allah S.W.T, 
Maksudnya 
“Serulahlah manusia ke jalan yang benar dengan Berhikmah dan teladan yang yang baik…….” 


  Berhikmah bukan beerti, dengan lemah lembut dan bukan jua dengan kasar semata-mata. Namun ianya bersesuaian pada suasana dan keadaan ketika itu. 
 Oleh itu, sifat sabar dan sentiasa berlapang dada sangat diperlukan malah wajib hadir dalam diri kita. Usahlah perkara yang lalu disimpan,dipendam sehingga wujudnya senarai musuh diantara kita. Dan kadangkala musuh kita berubah kearah yang lebih baik dan menjadi seorang daie yang hebat. Namun kita yang mungkin digelar sebagai pelajar agama terutamanya ataupun pelajar jurusan lain, tambahan pula yang sudah tamat pengajian dalam bidang deeniah masih wujud perasaan dendam terhadap mereka. Rasulullah s.a.w yang agung sanggup memaafkan umatnya, apatah lagi kita yang rendah martabat tidak memaafkan sesama kita. Terutamanya diantara sahabat dan jua orang yang berhampiran dengan kita. 
Rasulullah s.a.w Bersabda, maksudnya,
“ Barangsiapa yang tidak mengasihi maka tidak akan dikasihi” 
Rasulullah s.a.w Bersabda lagi,
“ Tidak beriman seseorang mu’min itu sehinggalah mereka saling kasih mengasihi diantara dirinya dan orang lain”   
   Tidak kiralah kita sebagai seorang kanak-kanak,dewasa, remaja, orang tua samada islam dan bukan Islam. Maka berkasih sayanglah, bersabarlah dalam tohmahan kepada diri kita. Berlapang dadalah sekiranya ianya baik untuk Islam dan tidak menjejaskan Aqidah Islam. Itulah digelar nikmat kesabaran, dan ianyanya merupakan rahmat kasih sayang Allah kepada kita untuk menjadi seorang mu’min yang lebih bertaqwa dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
 Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,  
Setiap yang berlalu pasti ada pengajarannya, 
Setiap ujian adalah rahmat dan kasih sayang-Nya, 
Tidak usah kita bersengketa sesama kita, 
Perkara yang berlalu itulah perjalanan kita, 
Membuat diri menjadi lebih matang dan mengenali-Nya, 
Hati kecil usulnya daripada segumpal darah buat manusia, 
Ianya adalah tempat atau dasar untuk menilai diri kita, 
Rabbul Izzati pemberi rahmat yang tiada penghalangnya, 
Buat manusia yang sering lalai dan leka, 
Usah putus harapan apabila diri berdosa, 
Malah bersegera memohon keampunan pada Yang Esa, 
Itulah fitrah dunia buat manusia, 
Untuk mencari akhirat yang kekal buat selamanya, 
Plihan ditangan kita, 
Setiap amalan bergantung pada usaha kita dan redha-Nya, 
Sama-samalah kita berusaha mencari kejayaan didunia dan jua Akhirat yang Indah buat selamanya.   

P/s:

1.Persoalkan diri /Muhasabah
2.Teladani Rasulullah apabila kita benar-benar mencintainya.
3.Hilangkan rasa benci dan dendam.
4. sentiasa memaafkan orang lain itu lebih baik melainkan perkara kebenaran unttuk Islam.

  Wallahu’alam


Istilah Arab

Mukmin-orang yg percaya kpd Allah; orang yg beriman.
Uslub- kaedah, cara: berkhidmat utk ke-benaran ialah ~ atau kaedah yg diperjuang-kan oleh Islam.
Daie-pendakwah.
Deeniah- Agama
   

No comments: