Menggabungan diri saya
ke dalam agama Islam mewajibkan supaya saya hidup menurut cara Islam pada
aspek-aspek akidah, ibadah dan akhlak, mewajibkan saya hidup menurut cara Islam
dalam diri, rumah dan keluarga saya. Penggabungan diri saya ke dalam Islam juga
adalah membawa erti bahawa saya diwajibkan supaya hidup untuk Islam, mewajibkan
saya mengarahkan seluruh hidup saya untuk Islam, mewajibkan supaya saya
menyerahkan segala keupayaan dan kemampuan saya untuk sesuatu yang dapat
mengagungkan kesultanan Islam dan dapat meningkatkan pembinaannya.
Apabila saya hidup
secara Islam dan untuk Islam, kehidupan saya itu mestilah mengikut lunas-lunas
Islam dan corak yang dapat membezakannya daripada kehidupan orang lain. Di antara
lunas-lunas dan corak tersebut ialah;
1. Berpegang teguh
dengan Islam secara praktik, kerana iman itu bukanlah angan-angan
semata-mata, tetapi iman adalah merupakan sesuatu yang termeteri di dalam hati
dan dibuktikan benar oleh amalan. Firman Allah Subha Nahu Wa Ta'ala;
"Orang-orang yang beriman
dan melakukan amal soleh." [As-'Asr:3]
Firman Allah Subha Nahu Wa Ta'ala lagi:"Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri sedangkan kamu membaca Al-Kitab, tidakkah kamu berfikir?" [Al-Baqarah:44]"Amat besar kemurkaan di sisi Allah bahawa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan." [Ash-Saff:3]
Hujjatul-Islam Al-Ghazali telah mengatakan: "Dua orang lelaki telah menimpakan musibat kepadaku, iaitu orang alim yang cabul dan orang jahil yang beribadat. Si jahil memperdayakan orang ramai dengan ibadatnya, manakala si alim pula memperdayakan orang ramai dengan kecabulannya."
Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam telah berwasiat kepada umat Islam dengan sabdanya:"Jadilah kamu orang yang memelihara ilmu dan janganlah kamu menjadi orang yang meriwayatkan ilmu." [HR Abu Nuaim]
2. Mencari dengan
teliti sesuatu yang mendatangkan maslahat kepada Islam kerana Rasulullah
SallaLlahu 'alaihi Wasallam telah bersabda:
"Berlegarlah kamu bersama-sama kitab Allah di mana sahaja ia berlegar."
"Sesiapa yang bangun (pada waktu) pagi dan tidak mengambil berat urusan orang Islam, beliau bukanlah termasuk dari golongan mereka.""Kamu berada di satu penjuru daripada penjuru-penjuru Islam, oleh itu janganlah (kamu biarkan Islam) diserang dari penjurumu."
Di dalam peperangan
Uhud, Saad bin Ar-Rabie' menghembuskan nafas terakhir dan pada tubuhnya
terdapat tujuh puluh liang bekas tikaman pedang, tombak dan panah, namun
demikian beliau tetap berpaling kepada Zaid bin Thabit dan berkata:
"Sesungguhnya aku telah mencium bau syurga dan
katakan kepada kaumku golongan Ansar; tidak ada penipuan di sisi Allah bagi
kamu sekiranya (kamu) jujur terhadap Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam dan
pada kamu masih terdapat mata yang mengerdip."
Kemudian ruhnya pun diangkat pada ketika itu juga.
[HR Ibn Ishaq secara mursal. Albani berkata, hadis seperti ini diriwayatkan
oleh hakim dan beliau berkata: Sanadnya Sahih dan ad-Dhahabi bersetuju]
3. Merasa bangga
(izzah) dengan kebenaran dan kepercayaan kepada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala.
Ini adalah salah satu sifat daripada sifat-sifat orang Mukmin. Firman Allah
Subha Nahu Wa Ta'ala:
”Dan keagungan itu (hanyalah) bagi Allah, Rasul-Nya dan bagi orang-orang Mukmin." [Al-Munafiqun:8]"Dan janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu bersedih hati padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman." [Ali-Imran:139]Telah diriwayatkan bahwa orang-orang Islam yang berhijrah ke Habsyah masuk mengadap raja Habsyah, An-Najashi. Salah seorang daripada paderi dan rahib yang berada bersama-sama dengan An-Najashi memulakan perbicaraan dengan orang Islam dengan mengatakan: "Sujudlah kepada raja." Lantas Jaafar bin Abi Talib yang menjadi ketua orang-orang Islam menjawab dengan katanya: "Kami adalah satu kaum yang tidak sujud kecuali kepada Allah." [HR Ahmad]
Sejarah Islam penuh
dengan peristiwa-peristiwa yang memperlihatkan sikap dan pendirian yang agung,
tinggi dan berani seperti yang telah dipertunjukkan oleh generasi Islam yang
pertama seperti Al-Khubaib bin 'Udai, Zaid bin Ad-Dathanah, Rub'ie bin 'Amir,
Mus'ab bin Umair, Said bin Jubair, Said bin Al-Musaiyib dan lain-lain lagi.
Amatlah baik jika kita membaca sejarah mereka, meneliti kisah mereka dan
mengikuti jejak langkah mereka.
4. Beriltizam dengan
amal-amal Islam dan bekerjasama dengan orang-orang yang beramal untuk Islam,
kerana dengan menganut agama Islam, saya telah diwajibkan oleh Islam beramal dn
bekerja bersama-sama dengan jemaah. Islam juga mewajibkan saya bekerjasama
dengan orang lain yang bekerja dalam medan dakwah kepada Allah, menyeru kepada
kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran, membina individu Muslim,
rumahtangga Muslim, masyarakat Muslim dan negara Islam. Firman Allah Subha Nahu
Wa Ta'ala:
"Kami akan membantumu dengan saudaramu." [Al-Qashash:35]"Dan tolong-menolonglah kamu (dalam mengerjakan) kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran." [Al-Maidah:2]
Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam bersabda:"(Perumpamaan) antara Muslim dengan Muslim (yang lain) samalah seperti binaan yang tersusun rapi, sebahagiannya memperkuatkan yang lain." [HR Bukhari dan Muslim]"Kekuatan Allah bersama-sama dengan jemaah, sesungguhnya serigala itu hanya akan (dapat) memakan kambing yang terpisah (daripada kumpulannya)." [HR Abu Daud]"Kamu mestilah (bersama) jemaah Muslimin dan imam mereka." [HR Bukhari dan Muslim]"Jemaah itu berkat.""Jemaah itu rahmat dan perpecahan itu azab." [HR Abdullah Ibn Ahmad Ibn Hanbal]
Rujukan: Apa Ertinya Saya Menganut Islam? Fathi Yakan
No comments:
Post a Comment